The Malaysian InsiderSaturday November 21, 2009

Bahasa
 
Hadi: PAS tetap kekal dalam Pakatan

KUALA LUMPUR, Nov 7 — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya akan kekal bersama Pakatan Rakyat, yang dibentuk selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008, untuk mengharungi gelombang politik domestik.

Berucap pada seminar politik parti itu, yang dilihat penting bagi memperjelaskan hala tujunya, Abdul Hadi berkata, PAS telah memperoleh banyak kelebihan menerusi gandingan PR berbanding hanya berjuang bersendirian sebelum ini.

Jelas beliau, PAS akan meletakkan masa depan parti itu bersama PR memandangkan realiti politik semasa memerlukan sokongan kedua-dua pengundi Islam dan bukan Islam.

Bercakap di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan di Markas Tarbiyyah di Gombak dekat sini pagi ini, Abdul Hadi berkata: "PAS telah memperoleh banyak kelebihan menerusi (gandingan bersama) Pakatan Rakyat walaupun hanya kalah dalam satu pilihan raya kecil di Bagan Pinang (bulan lalu)."

Seminar ini diadakan genap enam bulan selepas Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam yang diwarnai isu ada pemimpin parti memihak kepada syor kerajaan perpaduan bersama Umno-BN.

Katanya, PAS pernah membentuk kerajaan campuran pada masa lalu tetapi ia telah menemui kegagalan.

Oleh itu tegasnya, pihaknya perlu bersama PR untuk survival politik masa depan.

Seminar ini diadakan sebagai gantian kepada syor Muktamar Agung Khas (EGM) yang diketengahkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membincangkan 'kemelut' dalaman parti itu.

Bagaimanapun para pemerhati melihat seminar ini tidak akan dapat menyelesaikan isu utama dilalui parti itu.

Nik Aziz telah meninggalkan seminar selepas Abdul Hadi selesai menyampaikan ucapannya kerana kurang sihat.

Nik Aziz dirawat di Institut Jantung Negara di sini sejak kelmarin. Beliau sepatutnya menyampaikan ucapan penutup petang ini.

Dua pemerhati politik iaitu Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya dijadual menyampaikan pandangan masing-masing, dijangka kritis terhadap kepimpinan pusat parti.

Turut akan berucap ialah salah seorang Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengetuai jawatankuasa disiplin menyiasat PAS Selangor ekoran tindakan pemimpin-pemimpinnya memburuk-burukkan barisan kepimpinan pusat.

MENYUSUL LAGI

 


Top News | Malaysia | Business | World | Showbiz | Sports | Features | Opinion | Food | Bahasa | About Us