Di samping itu beliau yang memiliki ijazah hadith dengan lima ijazah sanad menerusi ulama India ditangkap malam kelmarin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Hulu Klang kerana dikatakan menyampaikan kuliah tanpa tauliah selain didakwa mengamalkan fahaman Wahabi kepada pengikutnya.
Muhammad sesekali tidak faham dengan sistem jabatan agama yang mempersoalkan pasal tauliah sedangkan Asri sendiri mempunyai PhD di dalam bidang berkenaan. Malah menurutnya dalam kontek dakwah Islam mewajibkan seseorang itu menyampaikan dakwahnya walaupun hanya sepotong ayat yang diketahui.
“Kalau begini caranya saya rasa lebih ramai lagi ulama dan penceramah yang JAIS boleh tangkap selepas ini,” katanya semasa dihubungi wartawan The Malaysian Insider.
Ketika ditanya mengenai ajaran Wahabi, Muhammad berkata, ajaran tersebut tidak salah untuk diamalkan sambil meminta orang yang mendakwa ajaran tersebut adalah salah agar berhujah dahulu apa yang dimaksudkan dengan ajaran tersebut, sebaliknya jangan cepat melatah kerana ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.
Dalam satu perkembangan lain (berhubung perkara berkenaan) Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, dilapor meminta JAIS segera memberikan penjelasan mengenai penahanan Asri kerana tindakan itu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi bekas mufti itu diketahui tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik.
Tindakan terbabit telah secara tidak langsung mengundang persepsi tidak senang di kalangan umum terhadap imej ataupun kredibiliti jabatan berkenaan.
Apatah lagi jika melihat plot penahanan Asri itu berlaku dalam suasana tegang dengan kehadiran sepasukan anggota polis sejumlah kira-kira 40 orang, membayangkan situasinya tidak ubah seperti suasana penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di rumahnya di Damansara pada tahun 1998 lalu.